11.40 malam
Mamat terjaga kerana terasa ada sesuatu menarik selimutnya. Matanya berkelip-kelip dalam kegelapan bilik, hanya cahaya bulan yang masuk melalui ventilasi memberikan sedikit sinaran samar. Bola matanya melirik ke bawah, ya, selimut itu benar-benar seperti sedang ditarik perlahan-lahan dari hujung kaki.
"Bret... Prakkk..." Tiba-tiba, satu tarikan kuat menyentap selimutnya, mendedahkan tubuhnya sepenuhnya. Mamat pantas menoleh ke sisi, tetapi Nabila tiada di sana.
Seketika itu juga, aura dingin menyelubungi bilik. Suasana seakan beku. Bulu roma di seluruh badannya menegak. Dia baru menyedari, tubuhnya tidak dapat digerakkan. Lumpuh. Mulutnya juga terkunci, cuma mampu menganga seperti orang kelemasan tanpa suara.
Paniknya meningkat. "Dup dap... dup dap..." jantungnya berdegup kencang.
Matanya liar memerhati sekeliling, mencari kelibat Nabila. Tapi hanya kegelapan. Hinggalah satu sentuhan menggenggam pergelangan kakinya, sejuk, seakan tangan mayat. Perlahan-lahan, dari hujung ranjang, muncul sesosok makhluk. Wajahnya menjelma.
Kepala itu naik perlahan, seperti ditarik dari dunia kematian. Wajahnya pucat kehijauan, kulitnya berkerut seperti terbakar dan kemudian dibekukan semula. Matanya menyala merah, menembus jiwa Mamat seperti mencongkel rohnya keluar.
Dia ingin menjerit. Dia ingin melompat. Tapi cuma lehernya yang mampu bergerak sedikit.
Mamat memejamkan mata sekuat mungkin. Bibirnya komat-kamit membaca doa, ayat Kursi, Al-Fatihah, apa sahaja yang dia ingat. Ini bukan mimpi. Ini lebih buruk dari mimpi. Ini adalah mimpi buruk yang menjadi nyata.
Tangannya masih digenggam. Dingin itu menjalar seperti ais menyelinap ke tulang sumsum.
Tiba-tiba, genggaman itu terlepas. Makhluk itu hilang. Senyap. Mamat terus berdoa tanpa henti. Nafasnya memburu. Tubuhnya dibasahi peluh sejuk yang meleleh seperti embun pagi di peti mayat.
Dia perlahan-lahan membuka mata. Kosong. Tiada siapa di hujung katil. Dia cuba menggerakkan tangan. Berjaya. Kakinya juga sedikit demi sedikit mula patuh. Lega mula menjalar, walaupun nafasnya masih tersangkut-sangkut. Dia memejam semula, menarik nafas panjang.
Sekali lagi. Dan sekali lagi. Kemudian dia membuka mata, "ARGHHHHH!!!"
Makhluk itu kini berdiri betul-betul di tepi katil, menatapnya dari atas dengan wajah separuh cair, mata merah membakar dan senyuman menyeringai penuh gigi hitam reput. Darah meleleh dari mulutnya. Bau busuk bangkai memenuhi ruang. Belum sempat Mamat menjerit, makhluk itu menerkam ke mukanya. Giginya mengoyak pipi Mamat.
Craaakkk!!
Jeritannya terputus. Darah memancut ke siling. Makhluk itu menggigit hingga ke tulang pipi, menarik seketul daging dari mukanya dan mengunyah seperti memakan daging panggang. Mamat meraung, matanya terbelalak.
Dia cuba meronta, tapi tubuhnya sudah berat, makhluk itu kini duduk mencangkung atas dadanya, kuku-kukunya mencakar dada Mamat, merobek kulit dan menyelongkar tulang rusuk dengan bunyi "krakkkk... srukkk..." yang mengerikan.
Darah kini memenuhi katil. Mamat menggigil, matanya berair. Lidahnya terjelir, suara tidak lagi keluar. Dalam satu sentakan ganas, makhluk itu mencabut jantung Mamat dan melahapnya. Degupan terakhir Mamat hanya tinggal gema dalam gelap.
11:44 Malam
Amin tersedar dari tidur kerana seolah-olah mendengar jeritan yang samar-samar. Rasa mengantuk masih menguasai, tetapi keinginan untuk kencing mendorongnya bangun. Untuk tidur dengan selesa, dia memutuskan untuk ke tandas sekejap. Dia melirik ke sampingnya, Samantha, gadis kacukkan itu, masih nyenyak dalam posisi menelungkup. Perlahan, dia menolak turun tangan Samantha dari dadanya, memandang wajah manis itu sambil turun dari katil.
"Hehe... bukan mimpi, ni. Malam ni dah dua, esok dua lagi kena cuba!" pikirnya dengan gembira dalam hati. Dia berjalan ke tandas, menyalakan lampu, dan berdiri di depan mangkuk tandas, melepaskan kencingnya dengan lega.
"Hhss... makin sejuk pulak... cepat sedikitlah, boleh sambung 'panas' kat dalam tu balik," bisiknya sambil menguap.
Selepas kencing, Amin berpusing untuk meninggalkan tandas. "Lah... Sam, saya kejutkan ke? Maaf lah, tadi keluar nak kencing," sapanya apabila melihat Samantha tiba-tiba masuk ke tandas, wajahnya pucat seperti mayat.
"Bukan... tekak saya sakit, tu yang bangun," jawab Samantha, memegang lehernya dengan wajah kelihatan kesakitan.
"Apa kena dengan leher Sam? Meh sini, abang tengok kan," kata Amin, menyentuh tangan Samantha. Dia melihat goresan kecil di lehernya, menitis darah. "Ni kenapa, Sam? Tadi tak macam ni, kan?"
Amin menyapu darah itu dengan jari, tetapi dia terkejut apabila goresan itu melebar, mengalirkan darah yang lebih banyak, merah pekat, mengalir seperti air pancut kecil ke leher jenjang Samantha.
"Hah... Sam, apa... apa ni?" Amin terpaku, mundur perlahan, tangannya bergetar.
Matanya membulat, seakan tidak percaya, apabila luka itu semakin merekah seperti kain koyak, mendedahkan daging mentah yang berdenyut dan tulang leher yang kelihatan samar di bawah darah yang membuak. Yang lebih mengerikan, Samantha hanya tersenyum, senyuman seram, bibirnya merekah hingga ke telinga, mendedahkan gigi-gigi yang tidak wajar, tajam seperti pisau dan bernoda darah kering. Bunyi tawanya seperti cakaran kaca, bergema di tandas yang sempit, membuat bulu roma Amin berdiri tegak.
"Huaaahhhhhh!!!" Amin menjerit apabila kepala Samantha terpisah dari lehernya dengan bunyi "krek" yang mengerikan, menggelinding ke lantai marmer dengan bunyi "gong... gong..." Darah memercik ke dinding, membentuk corak mengerikan, dan bau logam darah bercampur bau busuk memenuhi udara.
"Tolong, Abang, sambungkan leher Sam!" kata kepala itu, matanya yang kosong menatap Amin dengan senyuman yang memualkan, lidahnya yang panjang dan kelabu menjalar keluar seperti ular.
Amin menendang tubuh tanpa kepala itu hingga rebah, darah memercik ke pakaiannya, panas dan likat. Dia berlari ke pintu, tetapi "blam...!" pintu itu tertutup sendiri dengan kuat, seolah didorong oleh kuasa ghaib. Dia memutar gagang pintu dan menggoyangkannya dengan panik.
"Buka!! Buka... tolong!!" jeritnya, menghentam pintu hingga tangannya lebam.
Tawa seram mula memenuhi ruang tandas, seperti bunyi cakar menggaru dinding, membuat kaki Amin menggigil hingga dia terduduk. Dia menoleh ke belakang, tubuh tanpa kepala Samantha sudah berdiri semula, darah mengalir deras dari leher terputus, membentuk lopak merah di lantai marmer. Tangan pucatnya memegang kepalanya yang mengilai, mata kosong itu menatap Amin seolah menikam jiwanya. Kulit tubuhnya mula merekah, mendedahkan urat-urat hitam yang bergerak seperti cacing di bawah kulit.
"Ampun... pergi!! Jangan kacau aku!!" Amin meringkuk di sudut, tubuhnya bergetar, keringat dingin bercampur air mata membasahi wajahnya.
Makhluk itu melangkah mendekat, setiap langkah menghasilkan bunyi celepuk darah yang menitis. Kepala yang ditentangnya mula berkata-kata, suaranya serak seperti besi berkarat, "Abang... awak tak boleh lari..." Tangan bebasnya mencapai ke arah Amin, kuku-kukunya yang panjang dan hitam berkilat di bawah cahaya lampu, siap mencakar.
"Wwhuuaaa!!" Amin menjerit sekuat hati, tetapi suaranya tenggelam dalam tawa mengerikan makhluk itu, yang kini hanya beberapa inci dari wajahnya, bau busuknya memenuhi hidungnya seperti daging reput yang ditinggalkan berhari-hari.
11.45 malam
"Uuuhh... Katrina, sini... Sarah juga..." Parjo mengigau, masih dibuai mimpi indah percintaan liarnya bersama dua gadis itu. Tubuhnya berguling ke sisi, tangannya mencari-cari sesuatu untuk dipeluk.
Tetapi sesuatu yang dirasanya bukan kulit halus Katrina, sebaliknya kasar, lembap, seolah-olah kertas basah atau kulit terbakar. Ia juga mencium bau aneh, busuk, hanyir, seperti bangkai daging yang hangus terbakar.
Matanya terbuka perlahan dan detik itu juga, kantuknya lenyap sekelip mata. "Hah!" jeritnya, tubuh melompat ke belakang, jatuh dari katil.
Makhluk hitam hangus dengan wajah melepuh menatapnya dari atas katil. Matanya merah menyala. Daging wajahnya seperti cair, satu matanya tergantung, dan kulit di sekujur tubuh seperti daging dibakar, melepuh, pecah dan merekah memperlihatkan daging dan tulang.
Parjo ingin lari, tapi matanya terpaku pada pemandangan di sebelah. Ghazali.
Tubuh lelaki tambun itu telah terburai, perutnya koyak luas, dan Sarah, atau lebih tepat makhluk menyerupai Sarah, sedang berlutut dan mengorek isi perutnya. Usus panjang merah tua itu dilahap seperti mi sup, dimasukkan ke dalam mulut penuh darah. Matanya, sebelah normal, sebelah lagi kosong dan bersinar merah samar. Mulutnya lebar, bibirnya terkoyak dan berdarah.
Wajah Ghazali masih menunjukkan sisa ketakutan, matanya terbuka luas, membeku dalam maut yang sadis. Darah melimpah dari ranjang ke lantai. Bau hanyir menusuk hingga ke otak.
Parjo terundur, tangannya menutup mulut. Ingin muntah. Jantungnya berdegup kencang. "Setan... se-setan!" bisiknya. "Pergi! Jangan dekat!"
Makhluk hangus yang dulunya Katrina turun dari katil, perlahan menghampiri. Parjo menggigil, langkahnya tak teratur. Dia tak tahu sama ada mahu lari, menjerit, atau terus mati.
Wajah makhluk itu makin jelas dalam cahaya lampu meja. Tulang rusuknya kelihatan. Kulitnya melepuh hingga menyembul tulang kering. Mata yang dulunya lembut kini kosong, seakan tidak berjiwa.
Jeritan lain kedengaran dari bilik sebelah. Parjo tahu. Teman-temannya juga diserang. Ini bukan mimpi. Ini penyembelihan. Dia lari ke pintu dan menarik gagang sekuat hati. "Jangan dekat! Jangan dekat!!"
Tapi suara kunyahan di belakang makin kuat. Parjo berpaling, Sarah sedang menghisap organ dari perut Ghazali, dan menyeringai padanya.
Pintu tiba-tiba terbuka. "Syukur...!" Parjo sempat bersuara, tetapi suara itu mati serta-merta.
Di ambang pintu berdiri dua sosok. Satu, tubuh perempuan berwajah pucat kebiruan, matanya hitam tanpa putih. Giginya tajam, darah menitis dari dagu. Yang satu lagi, lebih mengerikan.
Makhluk tanpa kepala, tubuhnya penuh darah. Di tangan kanan, ia menenteng kepalanya sendiri, senyum lebar menghiasi wajah yang terputus. Di tangan kiri, kepala Amin tergantung, lengkap dengan tulang belakang yang menjulur panjang seperti ekor.
Parjo menjerit. "Hhhyyyy... jangan... ampun... tolong..." dia terduduk, tubuhnya menggigil. Air kencingnya terlepas, membasahi seluar. Kepala Amin dicampakkan ke arahnya. "Gedebuk...!" Kepala itu mendarat di pangkuannya, mata masih terbuka.
Parjo memekik, matanya terbeliak. Nafasnya terhenti. Langkah makhluk-makhluk itu mendekat, perlahan, gemeretak, seperti tulang berlaga di dalam daging. Dunia Parjo menjadi gelap. Pandangan kabur. Nafas terakhirnya lepas dalam jeritan senyap.
Dua Hari Kemudian
Kehilangan empat pekerja binaan yang sedang mengubah suai villa itu menggemparkan kawasan sekitar. Kampung yang biasanya sunyi dan tenang kini dipenuhi polis dan penduduk tempatan yang ingin tahu apa yang berlaku. Polis melakukan pencarian di sekitar kawasan itu, menyoal penduduk setempat, tetapi tiada petunjuk yang jelas ditemui. Angin sejuk bertiup melintasi villa, membawa bunyi desiran daun kering yang bergesel di halaman, seolah berbisik tentang rahsia yang tersimpan.
Polis telah menemu bual seorang penduduk tempatan, lelaki berusia lewat enam puluhan yang pernah bekerja sebagai penjaga villa di seberang jalan. Menurutnya, kira-kira empat tahun lalu, puteri tunggal pemilik villa itu dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan yang amat mengerikan ketika bercuti bersama rakan-rakannya di villa tersebut.
Tiga rakannya yang lain termasuk seorang gadis kacukan, turut menjadi mangsa apabila rumah mereka dipecah masuk oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali. Keempat-empat gadis itu ditemui maut dalam keadaan mengerikan, tubuh mereka remuk, kepala terpisah, darah dan daging berselerakan memenuhi ruang rumah. Hingga ke hari ini, suspek masih gagal dikesan.
Lelaki tua itu mengakui, bau darah dan pemandangan ngeri malam itu masih menghantui ingatannya, segar seolah-olah baru semalam ia berlaku. Hari kematian mereka adalah tepat dua hari lalu, bersamaan dengan malam kehilangan para pekerja binaan.
Sejak tragedi itu, lelaki tua itu mendakwa sering mengalami kejadian pelik di villa, bunyi ketawa perempuan yang sayup di tengah malam, langkah kaki tanpa wujud di koridor, dan penampakan sekilas sosok puteri pemilik villa, dengan wajah pucat dan rambut panjang hitam yang menutupi muka, seperti pontianak yang merayau mencari sang perlaku.
Kematian puteri tunggal itu memberi tamparan hebat kepada pemilik villa, seorang usahawan kaya, yang kemudian menutup villa dan cuba menjualnya. Namun, villa itu kekal kosong, terbiar dengan dinding berlumut, tingkap retak, dan bau hapak yang meresap di setiap sudut.
Cerita mistik itu tidak begitu di endahkan polis. Mereka tidak menemui apa-apa yang luar biasa di villa, hanya perabot berdebu, kolam renang kosong yang dipenuhi air hujan keruh dan daun kering, serta halaman belakang yang ditumbuhi rumput liar.
Namun, jika diperhatikan dengan teliti, sesetengah penduduk berbisik tentang kesan darah kering yang samar di dinding bilik tidur, bau busuk yang tidak dapat dijelaskan di koridor, dan suara sayup seperti rintihan di malam hari, seolah villa itu menyimpan sesuatu yang tidak mahu pergi. Polis mengabaikan bisikan ini sebagai khurafat, fokus mereka hanya pada bukti fizikal.
Di bandar, berita kehilangan itu tidak mendapat perhatian besar. Akhbar hanya melaporkannya sebagai berita sampingan, dan televisyen menyiarkannya tidak lebih daripada dua minit. Hanya majalah-majalah mistik seperti Mastika, yang memanaskan cerita ini dengan tajuk-tajuk sensasi, "Mangsa Roh Penunggu Villa Berhantu!", "Perbuatan Terlarang Mengundang Murka Hantu Pontianak!", atau "Roh Gadis Mencari Mangsa di Villa Terlarang!". Mereka menambah cerita tentang suara tangisan di malam purnama, bayang-bayang yang bergerak di tingkap, dan bau darah yang muncul tanpa sebab.
Polis menemui jalan buntu, kerana tiada petunjuk yang membawa kepada kehilangan keempat-empat pekerja binaan itu. Mereka hilang seperti ditelan bumi, tanpa jejak, tanpa mayat, hanya meninggalkan sprei berdarah samar dan bau busuk yang tidak dapat dijelaskan di villa itu.
Keluarga mereka mula hilang harapan, akhirnya pasrah dengan kehilangan misteri itu, walaupun hati mereka remuk. Di kalangan penduduk tempatan, bisikan tentang villa itu terus berlegar, kononnya, sesiapa yang masuk pada malam tertentu akan menjadi mangsa roh-roh gadis yang mati dengan dendam, merayau dengan wajah retak dan tubuh berdarah, mencari nyawa untuk menemani mereka dalam kegelapan.
Setahun Selepas Peristiwa Itu
Senja pukul 6:30, di sebuah gelanggang bola keranjang dalam kompleks villa mewah itu, enam pemuda sedang bermain setengah gelanggang. Mereka lincah, berpeluh, dan kelihatan sudah lama bermain.
Salah seorang memegang bola, memutarnya mencari ruang untuk mengoper, lalu melempar kuat, namun terlepas dari jangkauan rakan. Bola itu melantun ke luar dan menggelinding ke tepi. Kebetulan dua gadis melintas di situ. Seorang daripada mereka yang berambut panjang hitam memungut bola.
"Oi... terima kasih ya," ujar pemuda itu sambil menghampiri. "Korang pun bercuti disini juga ke?"
Dia terpaku sebentar melihat gadis itu, berbaju ketat hitam, berseluar pendek, rambutnya seperti iklan syampu. Gadis satunya juga menarik, berambut kemerahan bergelombang, memakai gaun mini berbunga.
"Ya... jalan-jalan ambil angin. Bosan juga asyik terperap dalam villa," jawab si gadis tenang.
"Oh ya, jom kenal-kenal dulu. Saya Rahmat," kata pemuda itu, menghulurkan tangan dengan senyuman.
"Sarah," jawabnya sambil berjabat tangan. "Ini Nabila, dia tuan villa."
Melihat Rahmat berborak dengan dua gadis itu, lima rakannya turut menghampiri. "Ni kawan-kawan saya, kami enam orang, tengah bercuti kat sini," kata Rio, memperkenalkan rakan-rakannya satu persatu.
Selepas berkenalan, mereka berbual santai, sesekali mencuri pandang pada keluk tubuh gadis-gadis itu, diselangi ketawa dan gurauan.
"Hmm... kira terbalik la ya, kami berempat semuanya gadis," kata Nabila sambil ketawa kecil.
"Oh ya ke? Villa korang kat mana? Mana la tahu boleh kami singgah." tanya seorang lelaki berambut pacak.
"Itu yang dua tingkat warna putih tu!" jawab Nabila sambil menunjuk ke atas bukit.
"Eh, dekat je! Kami belakang villa berpagar tinggi tu," balas Rahmat.
Kedua gadis itu nampak mesra dan mudah bergaul, membuat suasana cepat akrab. Tidak sampai beberapa minit, mereka sudah ketawa dan berbual seperti kawan lama, walaupun ada sesuatu yang pelik dalam senyuman mereka, terlalu sempurna, seolah disembunyikan sesuatu.
"Eh, betul ke ni, kami malam ni nak buat BBQ. Kalau korang nak join, jom lah. Kami gadis-gadis ni tak larat habiskan semua makanan," kata Sarah, suaranya manis tetapi ada nada menggoda yang halus.
"Wah, bunyi macam best je. Kalau masakan gadis-gadis cantik, mesti sedap. Kami dari semalam asyik beli makanan luar, masak sendiri pun tak menjadi, haha," balas seorang pemuda.
"Macam ni la, kami balik mandi dulu, lepas tu singgah villa korang, okay?" cadang Rahmat.
"Ha, setuju. Kami tunggu ya. Lagipun, bagus ada lelaki, boleh tolong kemas-kemas nanti, hehe," kata Nabila, ketawanya renyah tetapi ada bunyi serak yang pelik, hampir tidak kedengaran.
"Okay, settle! nanti kami datang," kata pemuda berkaca mata, sambil tersengih.
Mereka melambai sebelum beredar. Gelak tawa dan usikan nakal mengiringi langkah mereka pulang.
"Weh, meriah malam ni! Dapat lepak dengan awek pulak tu!" kata Rahmat
"Yaa bro, takdelah sunyi malam ni. Boleh 'party' sikit, hehehe." balas yang lain.
"Parti liar lah malam ni," kata seorang lagi dengan nada gatal. "Enam lawan empat, ada yang kena gangbang ni!"
"Kau ni memang otak kuning!" ejek pemuda berambut pacak, menepuk bahu rakannya.
Mereka berjalan ke villa, ketawa dan bersenda gurau, tak sabar untuk mandi dan bertemu gadis-gadis itu malam ini. Rasa gembira bercampur ghairah, memenuhi fikiran mereka, tanpa menyedari bahawa bayang-bayang di sekitar villa semakin merangkak panjang, seperti jari-jari hitam yang menanti.
"Apa pendapat kau pasal mangsa kali ni?" tanya Nabila sambil berjalan di tepi jalan yang dilitupi bayang-bayang pokok, angin malam membawa bau hapak yang samar.
"Hmm... boleh tahan. Sekurang-kurangnya lebih 'classy' dari tahun lepas, yang sebelum ni cuma kuli binaan sahaja," jawab Sarah.
"Enam orang... lagi ramai, lagi meriah," Nabila tersenyum.
"Cuma yang ni nampak kurang gagah sikit... tapi tak mengapa, lebih hensem, lebih sedap mata memandang," Sarah tergelak.
"Si Rahmat tu aku rasa dah terpikat dengan kau... dari tadi asyik tengok kau je. Serius, aku tengok ada iras ex aku masa sekolah dulu. Kami berkenalan dekat gelanggang juga...," kata Nabila, terkenang masa lampaunya.
Sarah ketawa kecil. "Hihi... mungkin lah. Tapi itu sebelum dia nampak 'bahagian ni.." tiba-tiba dia memalingkan wajahnya ke arah Nabila.
Separuh wajahnya kini pucat seperti mayat, retak seperti tembikar pecah, dengan daging merah berdarah terdedah di bawah kulit yang meleleh. Satu matanya kosong, mengeluarkan cecair hitam pekat yang menitis ke tanah di iringi bunyi "tok... tok...."
Bau busuk daging reput menyapu udara, dan angin malam membawa rintihan sayup, seperti suara pontianak yang meratap dari villa di bukit. Kedua-duanya mengilai kuat, ketawa mereka bergema di kegelapan, bercampur dengan bunyi angin yang seperti meraung, seolah-olah villa itu sendiri menanti mangsa baru dengan nafas yang kelaparan.
- TAMAT -
347Please respect copyright.PENANAoIL4M7Xpee


